Tips Hilangkan Jeragat

Pasti ada di antara pembaca menghadapi masalah jeragat pada kulit muka, bukan? Jeragat, atau bintik-bintik kecil di muka pasti membuatkan anda tidak selesa dengan penampilan wajah anda. Terdapat banyak faktor yang menyumbang berlakunya masalah jeragat ini, antaranya terlalu kerap terdedah dengan sinaran UV, perubahan hormon dalam kalangan remaja, wanita mengandung atau pun putus haid, pengambilan ubat-ubatan yang mempunyai kesan sampingan dan tidak dilupakan, faktor genetik. Namun begitu, disebalik masalah jeragat yang menghantui, ada panduan yang ingin admin kongsikan untuk menghilangkan bintik-bintik yang tidak diingini.

Perahan limau atau jus lemon. Tahukah anda, perahan limau atau jus lemon amat berkesan untuk mengurangkan masalah jeragat. Ia membantu pengelupasan kulit untuk menyingkirkan jeragat dan membolehkan pertumbuhan semula sel di samping membuang minyak berlebihan pada kulit muka. Tips hilangkan jeragat dengan menggunakan perahan limau atau jus lemon amat mudah. Anda hanya perlu rendam kapas pada perahan limau atau jus lemon, kemudian tekapkan pada muka anda selama 15-20 minit. Kemudian, jangan lupa untuk membasuh muka anda dengan air yang sejuk. Amalkan petua ini setiap hari dengan konsisten untuk mendapatkan hasilnya.

Baking soda untuk hilangkan jeragat

Baking soda. Percaya atau tidak, tips hilangkan jeragat yang seterusnya yang akan admin kongsikan memerlukan baking soda sebagai bahan utama. Hal ini berikutan kebaikan baking soda itu sendiri untuk pengelupasan lembut minyak, kotoran dan sel-sel kulit mati disamping mengekalkan keseimbangan pH kulit. Bagaimana? Mudah saja. Caranya, sediakan satu sudu teh baking soda yang dicampur dengan sedikit air untuk menjadikannya dalam bentuk pes. Kemudian, anda hanya perlu sapukan pada bahagian muka yang mempunyai jeragat dan amalkannya dua kali seminggu untuk mendapatkan hasil yang memuaskan. Tapi ingat, jika anda mempunyai kulit yang sensitif, anda dinasihatkan untuk tidak mencuba tips ini.

Hampas kelapa. Hah,  rasanya, santan kelapa selalu digunakan sebagai bahan masakan bukan? Tapi, selepas diperah santan dari kelapa, jangan dibuang hampasnya dulu. Tahu tak, hampas kelapa juga dapat membantu menyingkirkan jeragat yang tidak diundang pada kulit wajah. Caranya sangatlah ringkas. Ambil hampas kelapa tersebut dan gosokkan pada wajah anda, lalu dibiarkan selama selama sekurang-kurangnya 15 minit. Praktiskan tips hilangkan jeragat ini selalu untuk hasil yang diidamkan.

Daun sirih untuk hilangkan jeragat

Daun sirih. Seterusnya, anda juga boleh menggunakan daun sirih bagi menghilangkan jeragat yang merosakkan penampilan wajah. Caranya juga amat mudah dan menjimatkan masa. Anda hanya perlu sediakan beberapa helai daun sirih yang anda perlukan dan biarkan dalam peti sejuk. Kemudian, setiap pagi, apa yang perlu anda lakukan adalah ambil sehelai daun sirih tersebut dan gosokkan sekitar kawasan muka yang terkena jeragat. Amalkan secara berdisiplin.

Sekian saja tips hilangkan jeragat yang ingin admin kongsikan. Diharapkan pembaca akan mendapat manfaat dari petua-petua ringkas ini. Selamat mencuba!