Tips Hilangkan Jerawat

Alamak, jerawat datang lagi! Hah, pasti ada antara pembaca yang pernah atau sedang mengalami situasi seperti ini. Jerawat sudah semestinya mendatangkan ketidakselesaan pada wajah dan membuatkan kita hilang keyakinan diri untuk berhadapan dengan orang, bukan?

Terdapat beberapa punca munculnya tetamu yang tidak diundang ini pada kulit wajah. Antaranya, perubahan hormon, jangkitan bakteria pada kulit wajah, pengambilan makanan yang tidak seimbang, stress dan penggunaan kosmetik dan alat solek yang tidak bersesuaian dengan kulit muka. Tapi, jangan khuatir, di setiap masalah pasti ada penyelesaian. Mari, admin kongsikan tips hilangkan jerawat buat pembaca semua.

Kiub ais untuk hilangkan jerawat

Kiub ais. Kaedah ini merupakan antara kaedah yang paling popular dan berkesan untuk menghilangkan jerawat. Di samping tidak memerlukan kos yang tinggi untuk merawat jerawat, kaedah ini juga sangat mudah dilakukan di rumah. Caranya, hanya ambil kiub ais dan sapukan perlahan pada bahagian wajah yang ditumbuhi jerawat. Apabila wajah mula terasa kebas, berhenti seketika. Kaedah ini dipercayai mampu mengecilkan saiz pori sekaligus mengecutkan jerawat. Tak percaya? Cubalah!

Minum air masak. Selain itu, anda juga perlu pastikan anda meminum air masak dalam kuantiti yang banyak untuk menyingkirkan jerawat dari wajah. Air masak dipercayai mampu membuang toksin berbahaya dari tubuh badan dan membuatkan kulit wajah lebih cantik dan bersih. Selain membantu menghilangkan jerawat, dengan pengambilan air masak yang mencukupi, sudah tentu tubuh anda menjadi lebih sihat.

Bawang putih. Selain dijadikan ramuan dalam masakan, jangan tak percaya, bawang putih turut membantu anda yang mengalami masalah jerawat. Caranya, anda hanya perlu hancurkan bawang putih dan lumurkan pada bahagian wajah yang terkena jerawat.  Di samping membantu mengecutkan jerawat yang merosakkan penampilan wajah, bawang putih juga dapat membersihkan dan melindungi liang-liang muka anda daripada bakteria, sekaligus mengurangkan risiko untuk jerawat singgah lagi.

Air basuhan beras. Sedang membasuh beras? Tunggu dulu, jangan dibuang air basuhan berasnya! Ambil air basuhan beras tersebut dan sapukan pada wajah anda yang ditumbuhi jerawat. Biarkan ia kering sendiri. Setelah ia kering, cuci wajah anda dengan air yang bersih. Amalkan selalu untuk hasil yang terbaik. Selain dapat menghilangkan jerawat, wajah anda juga akan kelihatan lebih berseri.

Masker putih telur untuk singkirkan jerawat

Putih telur. Tips hilangkan jerawat yang seterusnya yang ingin admin kongsikan di sini adalah dengan hanya menggunakan putih telur. Caranya, ambil putih telur untuk dibuat masker di wajah. Biarkan selama 20 minit. Selain itu, untuk mendapatkan hasil yang lebih memuaskan, anda bolehlah menyapu sedikit perahan lemon pada wajah sebelum menyapu masker putih telur tersebut.

Jaga pemakanan. Akhir sekali, anda dinasihatkan untuk menjaga pemakanan dengan baik bukan sahaja untuk menyingkirkan jerawat, bahkan untuk mencegah jerawat dari muncul. Bak kata orang, mencegah itu lebih baik dari mengubati, bukan? Maka, kurangkanlah pengambilan makanan yang berminyak dan mengandungi kandungan gula yang tinggi. Sebaliknya, lebihkan makanan-makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Anda pasti akan tersenyum melihat hasilnya.

Sekian saja perkongsian tips hilangkan jerawat untuk pembaca yang disayangi. Semoga anda mendapat manfaat dari apa yang admin kongsikan ini.