Tips Hilangkan Mengantuk

Rasa mengantuk jika sudah singgah, memang parah. Manakan tidak, bayangkan jika anda harus menyiapkan lambakan tugas di atas meja pejabat, atau pun anda perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat, atau anda seorang pelajar yang perlu fokus dalam kelas agar tidak ketinggalan. Bagaimana agaknya apabila rasa mengantuk tiba-tiba datang tanpa dikawal? Pasti memalukan apabila rakan, majikan atau guru anda melihat anda tersengguk-sengguk. Boleh jatuh imej kita di hadapan orang-orang penting.

Untuk itu, admin ingin kongsikan pula tips hilangkan mengantuk yang jarang diambil perhatian kerana memikirkan bahawa ia tidak penting. Jangan begitu. Rasa mengantuk boleh menjejaskan produktiviti urusan harian kita ya. Jadi, ayuh sama-sama kita selusuri tips hilangkan mengantuk ini.

Duduk di kawasan yang mempunyai cahaya yang cukup. Jika anda terperangkap di kawasan tempat duduk yang kurang cahaya dan malap, memang mudahlah anda terasa mengantuk. Pasti anda terbayang seakan berada di dalam bilik tidur jika pencahayaan ruang kerja atau tempat duduk di dalam kelas anda malap suasananya. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk pergi sebentar ke kawasan yang mempunyai sinar cahaya yang lebih baik. Jika di dalam kelas, pilih tempat duduk yang berhampiran dengan tingkap, agar anda dilimpahi dengan sinaran matahari. Setiap kali mata anda berasa mengantuk, alihkan pandangan pada kawasan yang bersinar dengan cahaya matahari. Pasti mata anda akan lebih segar.

basuh muka untuk hilangkan rasa mengantuk

Membasuh muka dengan air yang segar. Tips ini merupakan tips yang paling popular untuk menghilang rasa mengantuk dengan segera. Namun begitu, bagi para wanita, pasti akan berfikir tiga empat kali untuk menghilangkan mengantuk dengan cara ini kerana risau solekan pada muka akan turut tertanggal. Tetapi, tidak dapat dinafikan lagi, dengan membasuh muka, anda pasti akan merasa lebih segar dan rasa mengantuk akan terus hilang sekelip mata. Admin sendiri suka membasuh muka dengan air yang bersih apabila mata rasa layu secara tiba-tiba. Sangat efektif.

Melakukan senaman ringkas. Jika rasa mengantuk yang dialami sangat-sangat berat dan mata seakan tidak boleh diangkat lagi, apa kata anda cuba pula tips hilangkan mengantuk yang ketiga ini. Caranya, anda hanya perlu ambil masa 3-5 minit untuk berehat sebentar dari urusan kerja yang anda sedang lakukan untuk membuat senaman mudah. Lakukan yang ringkas sahaja, tidak perlu sehingga berjogging mengelilingi pejabat pun. Misalnya, anda boleh pusingkan kepala anda selama beberapa saat atau melakukan gerakan-gerakan santai yang melibatkan tangan, kaki dan anggota badan lain untuk membuatkan tubuh badan lebih segar. Gerakan santai seperti ini mampu melegakan rasa mengantuk yang anda alami.

memandang pohon hijau untuk hilangkan mengantuk

Memandang tumbuhan hijau. Percayakah anda, dengan “mencuci mata” dengan melihat pokok-pokok dan tumbuhan hijau mampu membantu anda untuk menyegarkan mata sekaligus membuang rasa mengantuk yang mengganggu urusan. Jika kawasan pejabat anda dikelilingi kawasan yang ditanam dengan pokok-pokok menghijau, anda sangat beruntung, maka manfaatkannya sebaik mungkin. Dengan mencuba tips hilangkan mengantuk ini, bukan sahaja dapat menyingkirkan rasa mengantuk pada mata, tetapi pasti anda akan lebih tenang tatkala melihat keindahan alam.

Kesimpulannya, admin harap, pembaca tidak segan silu untuk mencuba tips hilangkan mengantuk yang dikongsi ini agar urusan kerja atau belajar berjalan dengan lancar. Selamat mencuba!