Tips Mudah Hamil

Setiap wanita yang bergelar isteri pasti mengimpikan rumahtangga yang dibina diserikan dengan kehadiran cahaya mata. Anak merupakan pengikat kasih sayang suami isteri dan menjadikan seseorang wanita itu lebih matang dalam menempuhi fasa baru yang amat bermakna, yakni sebagai seorang ibu. Siapa yang tidak ingin merasai pengalaman hamil dan melahirkan zuriat dari rahim sendiri, bukan?

Namun begitu, tidak semua wanita beruntung apabila menyentuh soal anak. Walau bagaimanapun, Islam menganjurkan umatnya agar sentiasa berusaha dan tidak mudah berputus asa. Oleh itu, di sini admin berbesar hati untuk berkongsi tips mudah hamil kepada para wanita sekalian yang mengimpikan kehadiran zuriat sendiri.

Menjaga kesihatan. Ramai yang  mengambil mudah soal kesihatan dan kepentingannya dalam usaha untuk mendapatkan zuriat. Padahal, inilah aspek paling penting yang harus dititikberatkan oleh wanita yang ingin mendapatkan anak. Anda hendaklah konsisten dalam mengambil makanan yang berkhasiat. Ini penting bagi memastikan tubuh badan dilengkapi dengan nutrisi yang sihat dan seimbang. Di samping menjaga pemakanan, kesihatan dapat juga dipelihara dengan mengamalkan gaya hidup yang aktif, seperti melakukan aktiviti senaman dan sebagainya.

Ovulation calendar

Ambil tahu waktu subur anda. Selain itu, tips mudah hamil yang seterusnya memerlukan anda untuk mempelajari kitaran haid anda sendiri bagi mengira waktu yang subur yang tepat. Mengetahui waktu ovulasi sangat penting dalam usaha mendapatkan zuriat agar hubungan intim dapat dilakukan bersesuaian dengan pengiraan waktu tersebut. Untuk lebih mudah, anda boleh dapatkan ovulation kit di farmasi atau google sahaja “Ovulation Calendar Tool” bagi menghitung waktu subur anda. Apa yang penting, kenali diri sendiri!

Kurangkan pengambilan kafein. Tahukan anda, pengambilan kafein yang berlebihan berisiko mengurangkan kesuburan seseorang wanita. Bahkan jika anda disahkan mengandung sekalipun, pengambilan kafein dalam kuantiti yang banyak boleh menjadi faktor berlakunya keguguran. Jadi, jika anda peminat tegar minuman berkafein, tidak salah kiranya anda hentikan dahulu pengambilan kafein yang terlalu tinggi dalam usaha mendapatkan zuriat. Apa kata gantikan dengan minuman yang lebih berkhasiat seperti jus buah-buahan dan sebagainya. Tak salah mencuba, bukan?

Tangani stress untuk mudah hamil

Tangani stress. Stress merupakan salah satu faktor yang mampu melambatkan kehamilan. Bahkan, stress yang gagal dikawal boleh merosakkan hubungan intim antara suami isteri. Oleh itu, adalah amat penting untuk kedua-dua pasangan bijak menangani stress dalam kehidupan seharian. Komunikasi yang efektif amat penting dalam rumahtangga bagi memastikan sebarang konflik yang berlaku dapat diredakan segera. Para wanita harus sentiasa memastikan diri dalam keadaan tenang agar tidak mengganggu sistem tubuh badan.

Berdoa. Tips mudah hamil yang terakhir yang ingin admin tekankan di sini berkait rapat dengan Maha Pemberi Rezeki itu sendiri. Tiada guna kita mengamalkan tips di atas jika kita terlupa untuk memohon dari Allah yang mempunyai kekuasaan mutlak untuk memberikan zuriat kepada kita. Antara doa yang boleh diamalkan para isteri ialah doa Nabi Zakaria dalam surah ali-Imran di mana terjemahannya berbunyi, “Ya Tuhanku, berikanlah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa”. Dekatkan diri pada Tuhan, bangunlah untuk mengadu pada-Nya di waktu malam dan merintihlah memohon agar dikurniakan zuriat yang diidam-idamkan. Segalanya di tangan Allah swt.

Sekian sahaja perkongsian tips mudah hamil daripada admin. Semoga anda akan terus mencuba!