Urutan Untuk Penyakit Stroke

Penyakit stroke merupakan salah satu daripada penyakit kronik yang semakin banyak dihidapi oleh masyarakat kita. Penyakit ini akan menyebabkan seseorang pesakit itu mengalami kelumpuhan pada anggota badan mereka. Oleh hal yang demikian, pesakit terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan dan terapi yang disediakan oleh pihak hospital yang akan dijalankan pada waktu-waktu yang tertentu, mengikut kepada keadaan pesakit.
Namun dalam masa yang sama, ada juga sebilangan besar masyarakat kita yang mengambil inisiatif lain untuk merawat stroke ini iaitu dengan menggunakan kaedah urutan. Urutan untuk penyakit stroke ini bukanlah sebarang urutan yang boleh dilakukan tanpa panduan dan kata nasihat daripada doktor. Oleh hal itu, rujukan daripada doktor juga perlu diambil bagi mengelakkan berlaku insiden kecil yang akan memudaratkan lagi keadaan pesakit.

pesakit tidak berada dalam keadaan stress untuk mendapatkan urutan
Persoalannya, bilakah waktu yang sesuai untuk mendapatkan sesi urutan ini? Pesakit dinasihatkan agar tetap mendapatkan rawatan doktor pada masa Golden Period/ Golden Hour. Waktu ini adalah difahamkan sekitar 3-6 jam dari masa pesakit menerima stroke. Pada masa ini, rawatan hospital sangat penting untuk mengelakkan perembesan darah atau kecederaan pada otak. Maka pada saat ini, urutan bukanlah langkah yang baik untuk pesakit.
Urutan untuk penyakit stroke dapat dijalankan dalam beberapa waktu. Pertama, pesakit hendaklah berada dalam keadaan yang stabil. Dalam masa yang sama, tekanan darah pesakit serta degupan jantung juga hendaklah dalam keadaan yang baik. Pesakit yang tidak sedarkan diri adalahdilarang untuk diurut.
Seterusnya, keadaan kulit pesakit hendaklah dalam keadaan baik. Ini bermaksud, tidak sesuai mengurut di kawasan yang ada luka, ruam atau penyakit kulit. Hal ini adalah bagi mengelakkan berlaku jangkitan virus yang boleh merebak. Dalam masa yang sama, urutan juga tidak digalakkan ke atas pesakit yang baru menjalani pembedahan dan rawatan beradiasi tanpa merujuk kepada doktor.
Urutan untuk penyakit stroke ini juga hendaklah dilakukan sebaik-baiknya sebelum melewati usia tiga bulan daripada insiden pesakit menerima stroke. Lebih awal pesakit menerima urutan, maka lebih mudah pesakit untuk pulih. Namun seandainya sudah melewati usia tiga bulan, maka tempoh masa untuk sembuh adalah lebih lama.

pesakit perlu cukup tidur sebelum mendapatkan urutan
Sebelum memulakan sesi urutan, seseorang hendaklah memastikan bahawa pesakit berada dalam keadaan cukup rehat dan tidur serta berada dalam keadaan tenang dan tidak tertekan. Seandainya pesakit berada dalam keadaan yang tidak sesuai diurut, maka perawat hanya perlu menyapukan minyak serta membacakan ruqyah serta melakukan tekanan pada titik-titik badan yang tertentu sahaja.
Berapa kali urutan perlu dilakukan? Sebaik-baiknya urutan dijalankan secara berturut-turut bagi mengelakkan saraf kembali mengeras. Namun tiada tempoh masa yang ditetapkan memandangkan mungkin segelintir masyarakat menghadapi masalah kewangan. Cuma, rawatan hendaklah diakukan secara konsisten untuk mendapatkan hasil yang baik.
Demikian serba sedikit perkongsian tentang urutan untuk penyakit stroke. Semoga perkongsian ini dapat memberikan maklumat kepada setiap pembaca.